Nasi lemak quinoa dah basi, kata pembeli rumah pada pemaju | Malaysian Institute of Estate Agents

Nasi lemak quinoa dah basi, kata pembeli rumah pada pemaju

2019-09-29

Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) berkata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) yang mengutamakan hartanah mewah adalah umpama cuba menjual "nasi quinoa lemak dengan daging wagyu" tetapi kemudian mendapati orang tidak membeli hidangan tersebut.

Hal ini selepas Rehda menolak kritikan HBA bahawa pemaju telah membina hartanah mewah yang tidak diperlukan orang ramai menggunakan perumpamaan bahawa mereka tidak akan menjual nasi lemak yang orang tidak mahu kerana ia akan menjadi basi.

Setiausaha Agung kehormat HBA, Chang Kim Loong berkata, apa yang berlaku, pemaju terkemuka telah melobi kerajaan untuk memasarkan hartanah mewah yang tidak diingini kepada orang asing.

"Terdapat vendor yang menjual nasi lemak biasa dengan hanya memercikkan ikan bilis goreng, telur rebus dan beberapa sambal pedas di sebelahnya dengan harga RM2.


"Tidak ada yang menarik tetapi dapatlah mengisi perut dan yang paling penting, mampu dimiliki oleh rakyat.

Pemaju minta kerajaan campur tangan

"Terdapat vendor nasi lemak yang menawarkan nasi lemak quinoa mewah dengan daging wagyu premium di sebelahnya di mana mereka menaikkan harga mewah nasi lemak mereka pada harga RM88 setiap pinggan dan kemudiannya apabila tidak ada pembeli, mereka meragam," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Dengan cara yang sama, Chang berkata pemaju kini sedang mendapatkan campur tangan kerajaan supaya mengubah dasar negara demi menyelamatkan nasi lemak mereka yang "mewah".

"Menghadapi masalah yang dianggarkan RM100 bilion dan disedari dengan banyak inventori hartanah mewah yang melangkaui jangkauan kemampuan kebanyakan rakyat kita, para pemaju kini mahu kerajaan mempromosikan nasi lemak tersebut ke China dan Hong Kong serta memberitahu mereka bahawa rasa dan bau (basi nasi lemak berkenaan) mewakili masakan Malaysia yang terbaik," katanya.

Chang berkata keadaan semasa pasaran hartanah mewah membuktikan keadaan itu.

"Apa yang difikirkan HBA adalah istilah Latin yang sering digunakan dalam kes kecuaian iaitu res ipsa loquitor yang bermaksud 'keadaan (atau perkara atau tindakan itu) bercakap untuk dirinya sendiri'.

"Daripada berita semasa dan kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, terdapat lebihan bekalan hartanah dalam kategori perumahan mewah.

"(Hartanah yang) tidak terjual itu menyarankan bahawa pemaju membina (rumah) yang tidak mampu (dimiliki) rakyat Malaysia dan akibatnya mereka (pemaju) kini perlu menjual barang-barang mereka di luar negara untuk menangani masalah lebihan ini kerana ia menjadikan industri pembinaan dan ekonomi meleset secara umum," katanya.

Chang menjelaskan pemaju kini berusaha untuk mendapatkan keuntungan daripada lebihan binaan mereka sendiri.

"Jika pemaju memilih jalan yang 'berisiko tinggi, pulangan tinggi', maka mereka tidak boleh memindahkan peranan 'pengurus pemasaran merangkap ejen hartanah' kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah mereka.

"Ini bukan kes nasi lemak basi tetapi keadaan sudah menjadi buntu.

"HBA menggalakkan pemaju yang terjejas untuk meneroka cara lain bagi menyelesaikan masalah mereka. Mungkin sudah sampai waktunya untuk mereka mengubah suai resepi pembangunannya," katanya.

Chang mengulangi kiasan HBA bahawa pemaju perlu membina produk yang betul di lokasi yang betul dengan harga dan angka yang tepat.

HBA sebelum ini mengkritik cadangan Zuraida agar kerajaan memasarkan hartanah bernilai lebih daripada RM1 juta kepada pembeli dari China dan Hong Kong.

Persatuan pembeli rumah itu memberi amaran bahawa hal ini boleh menggalakkan pemaju untuk terus membina hartanah mewah dengan mengorbankan rumah mampu milik untuk rakyat biasa.

ADVERTISEMENT