Langkah saring penyewa, penghuni baharu perumahan strata tidak boleh dilaksana | Malaysian Institute of Estate Agents

Langkah saring penyewa, penghuni baharu perumahan strata tidak boleh dilaksana

2021-01-29

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mewajibkan saringan COVID-19 terhadap penyewa atau penghuni baharu perumahan berstrata tidak boleh dilaksanakan ketika ini, kerana tidak disokong asas perundangan.

Justeru, badan pengurusan bersama (JMB) dan perbadanan pengurusan perumahan itu, disaran tidak melaksanakan langkah itu.

Pendirian itu diambil tiga persatuan berkaitan pengurusan kediaman dan hartanah Malaysia, yang nyata bertentangan saranan kerajaan yang mahu ia dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19.

Institut Kemudahan dan Hartanah Malaysia (MIPFM), Institusi Diraja Juruukur Malaysia (RISM) serta Persatuan Penilai, Pengurus Hartanah, Ejen Hartanah dan Perunding Hartanah bagi Sektor Swasta Malaysia (PEPS), dalam kenyataan bersama, menegaskan saranan mewajibkan saringan itu perlu diteliti daripada beberapa aspek.

"Kami berpendapat bahawa ketika ini tiada sebarang peruntukan perundangan yang memberi asas kepada badan pengurusan untuk menjalankan dasar seperti itu.

"Justeru, kami sarankan supaya ahli dan semua pihak berkaitan, termasuk JMB serta Perbadanan Pengurusan untuk tidak berbuat demikian," kata mereka hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam dilaporkan berkata kerajaan memberi kebenaran kepada pengurusan kondominium, pangsapuri dan kawasan perumahan untuk membuat peraturan mewajibkan penyewa, terutama warga asing menjalani saringan COVID-19, sebelum dibenarkan masuk ke premis kediaman.

Kelulusan terhadap langkah itu diberi demi menjaga keselamatan kesihatan penghuni lain yang tinggal di kawasan kediaman berkenaan, meskipun pendekatan sedemikian tidak dinyatakan dalam dasar Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menerusi kenyataan sama, tiga pertubuhan turut mengambil pendirian, langkah mewajibkan saringan terhadap penghuni atau penyewa baharu, hanya boleh dijalankan jika mendapat arahan agensi tertentu.

"Arahan ini sama ada menerusi prosedur operasi standard (SOP) rasmi dikeluarkan MKN atau Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Pengurusan hartanah, JMB dan Perbadanan Pengurusan sepatutnya meminta nasihat perundangan sebelum menuruti arahan ini (mewajibkan saringan terhadap penyewa atau penghuni baharu)," katanya.

ADVERTISEMENT