Inisiatif kerajaan bantu golongan pencari rumah | Malaysian Institute of Estate Agents

Inisiatif kerajaan bantu golongan pencari rumah

2020-08-11

KUALA LUMPUR: Inisiatif nasional untuk meringankan beban COVID-19 ke atas rakyat sambil merangsang sentimen hartanah diterima dengan baik oleh golongan pencari rumah, demikian menurut Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru Malaysia Separuh Kedua 2020.

Rakyat Malaysia amat berpuas hati dengan moratorium pembiayaan enam bulan Bank Negara Malaysia (BNM), seperti yang ditunjukkan oleh majoriti 39 peratus responden.

Selain itu, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dilancarkan pada 5 Jun lalu berjaya menyelesaikan cabaran utama pemilikan rumah, termasuk harga hartanah dan duti setem.

Kajian PropertyGuru mendapati, golongan muda di negara ini dan berasal daripada latar belakang berpendapatan rendah ternyata puas hati dengan langkah yang diperkenalkan kerajaan.

Ini disebabkan oleh sifat peruntukan bantuan PENJANA yang lebih disasarkan kepada golongan kurang berkemampuan dan juga pakej pemulihan lain.

Ia juga tepat pada masanya memandangkan lonjakan minat terhadap pemilikan rumah dalam kalangan demografi ini berikutan kawalan pergerakan selama beberapa bulan yang disebabkan pandemik berkenaan.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, berkata penemuan itu mencerminkan kejayaan inisiatif kerajaan yang menyasarkan kumpulan B40 dan golongan muda.

Katanya, moratorium BNM adalah langkah yang tepat pada masa yang betul, di samping mendapat penghargaan yang mengatasi inisiatif lain seperti bantuan kewangan Bantuan Prihatin Nasional (11 peratus) dan penyusunan semula pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (sembilan peratus).

"Walaupun fasa pertama moratorium akan berakhir pada bulan September, ia berjaya membantu 43 peratus responden membina semula penampan kewangan mereka. Selain itu, ia juga membantu menyelaraskan kos sara hidup (34 peratus) dan mengalihkan hala tuju kewangan ke pelaburan alternatif (16 peratus)," katanya.

Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru Malaysia Separuh Kedua 2020 mendapati bahawa 44 peratus responden memilih moratorium, menunjukkan bahawa ramai (48 peratus) pemilik rumah yakin dengan kemampuan mereka untuk membayar ansuran pinjaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan tidak memilih moratorium.

Bagi golongan yang memilih moratorium, langkah itu menjadi bantuan yang amat diperlukan dan tepat pada masanya.

Menurut kajian itu, isu utama pemilikan kediaman berjaya ditangani hasil inisiatif kerajaan termasuk pengurangan kadar faedah pinjaman perumahan (81 peratus), reformasi Cukai Keuntungan Hartanah atau CKHT (73 peratus), pengurangan duti setem (61 peratus), bayaran pendahuluan (54 peratus) dan pengembangan jangka masa pinjaman maksimum (24 peratus).

"Apa yang penting, banyak cabaran ini telah berjaya diselesaikan oleh inisiatif nasional baru-baru ini, dengan penyusunan semula Kadar Dasar Semalaman (OPR) BNM menjadi 1.75 peratus, sebagai contoh, menurunkan kadar faedah bagi pinjaman perumahan di seluruh negara," katanya.

ADVERTISEMENT