40 ditipu ejen hartanah | Malaysian Institute of Estate Agents

40 ditipu ejen hartanah

2020-09-07

Johor Bahru: Hasrat seorang suri rumah untuk membuka restoran tidak kesampaian, apabila dia ditipu ejen hartanah.

Chia Moi Hon, 45, berkata wang simpanan miliknya bernilai RM36,000 yang dikumpul sejak lima tahun lalu diserahkan kepada ejen hartanah secara tunai bagi pembelian rumah kedai di Kawasan Tebrau pada 2018.

Menurutnya, selepas pemberian deposit terbabit, pihak ejen hartanah ada memberikan dokumen perjanjian yang mempunyai setem hasil.

"Saya menyerahkan wang tunai RM36,000 sebagai deposit pembelian rumah kedai kerana harga yang ditawarkan dibawah RM300,000 dan mampu dibeli oleh saya.

"Dokumen itu sangat meyakinkan dengan tandatangan daripada peguam serta cop pada setem hasil. Namun selepas 200 hari tempoh pembayaran, tiada sebarang perkembangan. Malah usaha saya untuk mendapatkan kembali wang selepas rasa tertipu juga tidak berhasil," katanya.

Sementara itu, peniaga barangan elektrik, Teng Mong Boon, 45, yang menjadi salah seorang mangsa penipuan mendakwa ada menyerahkan RM24,000 secara tunai kepada salah seorang ejen hartanah terbabit.

Katanya, sesi pembelian lot kedai yang ditandatangani pada 2018 menjanjikan pembelian rumah kedai setingkat dibawah harga RM300,000 di Kawasan Tebrau.

"Saya mula membuat urusan jual beli selepas tertarik dengan iklan di Facebook (FB) dan terus menghubungi ejen terbabit sebelum urusan duit deposit diserahkan kepada ejen terbabit secara tunai sebanyak RM24,000.

"Lot rumah kedai yang ditawarkan murah sedikit iaitu dibawah RM300,000 berbanding harga pasaran sehingga mencecah RM1 juta. Saya memerlukan kedai kerana mahu membesarkan perniagaan barangan elektrik. Saya rasa tertipu dan mahukan wang semula.

"Selepas membuat pembayaran deposit itu, perjanjian menyatakan proses pembelian akan dimulakan selepas 200 hari, namun sudah dua tahun ia senyap begitu sahaja. Saya pernah menghubungi pengurus ejen hartanah yang dikenali sebagai Janon, dia menjanjikan wang saya akan dikembalikan," katanya.

Namun Teng berkata sehingga laporan polis dibuat di Balai Polis Johor Jaya, pengurus ejen hartanah itu masih berdiam diri.

Dia ditemui pada sidang media Biro pengaduan dan perkhidmatan awam MCA bahagian Pasir Gudang, di Johor Bahru, semalam.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA bahagian Pasir Gudang, Lim Thow Siang berkata Janon dipercayai memperdaya lebih 40 individu bagi membeli lot kedai dan rumah dengan nilai kerugian hampir RM3 juta.

Katanya, penipuan itu dibuat pada tahun 2018, malah Janon turut meyakinkan mangsa dengan pemberian kad perniagaan dan memperkenalkan dirinya sebagai Ketua Persatuan Kepolisian Komuniti kawasan Johor Jaya.

"Malah Janon juga memberi gambarnya yang memakai baju Persatuan Kepolisian Komuniti bersama anggota polis kepada mangsa, sehingga menyebabkan semua mangsa percaya bahawa lelaki itu boleh menguruskan pembelian rumah kedai.

"Saya yakin ramai diluar sana yang turut menjadi mangsa penipuan lelaki ini. Saya berharap mereka yang merasa tertipu boleh hadir di MCA Pasir Gudang atau menghubungi Ang Tun Chek di talian 0197720906," katanya.

ADVERTISEMENT