Waspada 'scammer' hartanah! | Malaysian Institute of Estate Agents

Waspada 'scammer' hartanah!

2020-04-17

ANDA yang berhasrat menjual atau membeli hartanah di pasaran digesa mendapatkan khidmat ejen yang sah bagi mengelak menjadi mangsa scam atau penipuan.

Memetik laporan Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) Soma Sundram berkata, ia berikutan kebanjiran ramai ejen tidak sah di pasaran tempatan akibat pengangguran susulan impak Covid-19 selain tidak memerlukan bayaran atau fi tinggi untuk menjadi ejen terbabit.

Kata beliau, orang ramai perlu bebas membuat keputusan dan mengambil masa membuat penelitian dan penyelidikan sendiri selain jangan terlalu berharap kepada ejen untuk melakukan semua perkara itu.

“Jika mengambil khidmat ejen pula, pastikan individu itu berdaftar dan disahkan kerana hanya ejen sah dipertanggungjawabkan terhadap maklumat yang dikongsi.

“Malah, sebarang maklumat salah atau mengelirukan itu juga boleh dimaklumkan kepada firma ejen terbabit bagi tindakan selanjutnya.

“Kerjasama baik dan kepercayaan antara ejen, penjual serta pembeli juga penting bagi memastikan semua pihak mendapat maklumat sewajarnya,” katanya menerusi persidangan secara maya anjuran MIEA bertemakan Jangan Mudah Terpedaya Ketika Mencari Tawaran Hartanah Menarik di ibu negara, baru-baru ini.

Sementara itu, pengasas merangkap editor portal hartanah KopiandProperty.com, Charles Tan turut menekankan kepentingan melantik ejen eksklusif.

Ini berikutan tindakan melantik ramai ejen hanya menggalakkan perebutan atau persaingan sesama ejen dan menyebabkan harga hartanah yang ingin dijual itu semakin rendah.

Kata Tan, setiap ejen itu perlu mengenali kawasan terbabit dengan baik, memahami undang-undang serta arah pasaran.

“Mereka perlu mempunyai pengetahuan mengenai hartanah dan kawasan itu termasuk sama ada ia berstatus pegangan pajak atau bebas, jarak dan keadaan lalu lintas selain pengurusan hartanah, pembangunan, penyelenggaraan, kemudahan dan sebagainya.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan pandangan pihak kedua bagi mempratikkan tindakan sewajarnya.

“Selain mendapatkan khidmat profesional, ejen boleh dipercayai dan perunding, anda perlu menggunakan khidmat peguam dan bank yang bagus untuk menjimatkan masa serta kos dalam satu-satu proses terbabit,” katanya.

Sementara itu, persidangan secara maya itu dianjurkan bersempena kempen kesedaran awam #MYREALAGENTS oleh MIEA.

Ia bertujuan untuk mendidik masyarakat mengenai keperluan menggunakan khidmat ejen hartanah berdaftar dan pihak perantara boleh dipercayai bagi tujuan transaksi hartanah. - Bernama

ADVERTISEMENT