Program MM2H dibekukan sementara waktu | Malaysian Institute of Estate Agents

Program MM2H dibekukan sementara waktu

2020-08-04

PUTRAJAYA: Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dibekukan sementara waktu bagi memberi ruang Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta agensi berkaitan untuk mengkaji serta menilai semula secara komprehensif selepas ia dilancarkan pada 2002.

Menurut Unit Komunikasi Korporat kementerian itu, pembekuan berkenaan selari dengan keputusan kerajaan yang masih belum membenarkan warga asing masuk ke Malaysia susulan pandemik COVID-19.

Katanya, syarat, insentif dan perbandingan dengan program luar negara yang setara dengan MM2H seperti Citizenship by Investment (CBI) atau Residence by Investment (RBI), ialah antara perkara akan diteliti dalam kajian berkenaan.

Justeru, kementerian yang bertindak sebagai penyelaras program itu, tidak akan memproses permohonan baharu, termasuk yang telah dikemukakan kepadanya.

"Hal ini mengambil kira pemprosesan permohonan MM2H membabitkan pelbagai kementerian dan agensi yang turut terkesan dengan keputusan pembekuan itu.

"Oleh itu, jika warga asing masih berminat menyertai MM2H, mereka boleh mengemukakan permohonan selepas program berkenaan diaktifkan semula, namun perlu mematuhi syarat semasa.

"Selain itu, warga asing boleh merujuk Jabatan Imigresen untuk mendapatkan maklumat mengenai pas Imigresen yang bersesuaian untuk menetap di Malaysia dalam tempoh panjang," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memberi jaminan hasil kajian yang akan disinergikan dengan keperluan semasa, bakal memberikan manfaat kepada semua pemegang taruh terbabit.

Katanya, kementerian itu sekali gus berharap semua pihak dapat menyokong hasrat kerajaan untuk menambah baik MM2H supaya ia setanding dengan program seumpamanya pada peringkat antarabangsa.

ADVERTISEMENT