PM umum lanjutan moratorium, bantuan bank bersasar hari ini | Malaysian Institute of Estate Agents

PM umum lanjutan moratorium, bantuan bank bersasar hari ini

2020-07-29

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman mengenai lanjutan moratorium pembayaran pinjaman dan bantuan bank bersasar hari ini.

Pengumuman itu akan disiarkan secara langsung di televisyen pada jam 3 petang ini.

Perkara itu dinyatakan menerusi satu poster dimuat naik di Facebook.

Moratorium pembayaran balik pinjaman secara automatik selama enam bulan akan berakhir September ini.

Pelbagai pihak sebelum ini dilaporkan meminta kerajaan menyambung tempoh moratorium kerana masih banyak individu dan perniagaan yang terjejas akibat kehilangan pendapatan susulan pandemik COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kelmarin dalam jawapan pada sesi soalan lisan di Dewan Rakyat berkata, institusi perbankan berkemungkinan besar mengalami kerugian bernilai RM79 bilion dari segi kapasiti untuk memberi pinjaman atau dikenali 'kerugian pengubahsuaian' sepanjang tempoh pelaksanaan moratorium enam bulan pada April hingga September.

Menurutnya, ini adalah jumlah yang boleh dipinjamkan bank-bank terbabit kepada individu dan peniaga dalam keadaan perniagaan biasa bagi tempoh April hingga September itu.

Sistem perbankan dianggar mengalami jumlah kerugian pengubahsuaian hari pertama laporan perakaunan Malaysia (IFRS 9) sebanyak RM6.4 bilion sepanjang tempoh moratorium selama enam bulan.

Sistem perbankan dianggar mengalami kerugian IFRS 9 sebanyak RM1.06 bilion bagi setiap bulan tempoh moratorium.

Hingga 20 Julai lalu, nilai moratorium yang diberikan ialah sebanyak RM59 bilion, sekali gus memberi manfaat buat 7.7 juta rakyat Malaysia atau 93 peratus daripada peminjam individu.

ADVERTISEMENT