Pasaran hartanah dijangka bertambah baik | Malaysian Institute of Estate Agents

Pasaran hartanah dijangka bertambah baik

2018-08-09

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pasaran hartanah Malaysia diunjur bertambah baik dan beransur pulih menjelang 2020 didorong pertumbuhan keyakinan di bawah kerajaan baharu.

Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Eric Lim Chin Heng berkata, pelaksanaan dasar-dasar baharu oleh kerajaan akan meningkatkan lagi sentimen pembelian dalam pasaran hartanah.

Katanya, ia termasuk rancangan untuk memperkenalkan dan menguruskan bekalan rumah mampu milik dan pengumuman bajet tidak lama lagi yang akan menjadi ujian buat kerajaan baharu dalam menangani isu industri hartanah.

"Pelabur hartanah yang telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan sektor itu tidak sabar untuk kembali ke pasaran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pasaran hartanah pada tahun lepas menyaksikan jumlah urus niaga mencecah paras paling rendah sejak 2012 berjumlah 311,824.

Dalam usaha membantu merangsang keyakinan, MIEA akan memberi tumpuan kepada Program Pembangunan Berterusan (CDP) diiktiraf oleh Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPEPH).

Program itu memberi pengetahuan baharu dan meningkatkan kemahiran dengan penekanan kepada profesionalisme dan integriti kepada sebanyak 18,000 ahli MIEA yang aktif.

Menurut Chin Heng, CDP adalah program latihan tahunan yang dikehendaki oleh LPEPH untuk memastikan bahawa perunding hartanah (REN) dilatih menjadi relevan dalam kerja-kerja yang mereka lakukan.

"Ini akan membolehkan REN untuk terus berlatih pada tahun yang akan datang, seterusnya melakukan pembaharuan tag REN mereka.

"Kami mahu memberi peluang kepada REN bersedia untuk berhadapan pasaran yang mencabar dan meraih manfaat apabila pasaran dijangka mula pulih pada 2019," katanya. - UTUSAN ONLINE

 

ADVERTISEMENT