Moratorium perlu diteruskan – Ir Khairil | Malaysian Institute of Estate Agents

Moratorium perlu diteruskan – Ir Khairil

2020-08-28

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan moratorium perlu diteruskan bagi membantu mengurangkan beban golongan belia yang mengganggur.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pelaksanaan moratorium yang dijangka akan berakhir penghujung September ini perlu diteruskan kepada beberapa golongan yang terpilih sahaja antaranya ialah anak-anak muda.

“Anak-anak muda khususnya golongan yang menganggur akibat daripada wabak Covid-19 perlu diberi perhatian.

“Mereka bukan sahaja kehilangan pekerjaan, malah dibebani dengan krisis hutang yang perlu dilunaskan,” ucapnya dalam forum Townhall Anak Muda Muafakat Nasional malam tadi, di Sungkai, Perak.

Jelasnya, ini merupakan salah satu daripada usaha kerajaan bagi menangani isu pengangguran dalam kalangan anak muda bagi tempoh jangka masa pendek

Selain itu, PAS mencadangkan untuk memperkasakan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi memperluaskan lagi jaringan ekonomi digital di peringkat felda.

Katanya, perjumpaan bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang akan dilakukan pada September ini akan membincangkan penyelesaian bagi isu pengangguran anak muda.

Khairil Nizam menambah, anak-anak muda akan dibekalkan dengan pelbagai kursus bagi meningkatkan mutu kerja dan daya saing yang kreatif untuk melatih kemahiran mereka untuk jangka masa pertengahan.

“Ianya bertujuan untuk melatih para pekerja yang sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang mendatang,” ucapnya.

Bagi mengurangkan masalah pengangguran untuk jangka masa yang panjang, PAS mencadangkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing bagi memberikan ruang kepada warga tempatan khususnya anak-anak muda.

“PAS cadangkan kepada kerajaan supaya sektor-sektor ‘3D’ – dangerous, difficult dan dirty ini boleh dilihat semula untuk ditambahkan dengan elemen automation dan robotics, maka hasil daripada itu boleh diserahkan kepada anak muda.

“PAS juga memohon Kerajaan untuk melihat kembali strategi perumahan generasi kedua dan ketiga golongan felda bagi membantu mereka memiliki tanpa dibebani oleh krisis kewangan,” kata Khairil Nizam. – HARAKAHDAILY 28/8/2020

ADVERTISEMENT