KPKT sedang gubal dasar akta sewaan kediaman bagi kawal harga rumah - Zuraida | Malaysian Institute of Estate Agents

KPKT sedang gubal dasar akta sewaan kediaman bagi kawal harga rumah - Zuraida

2020-08-05

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menggubal dasar Akta Sewaan Kediaman bagi mengawal harga rumah di negara ini, kata Menterinya Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata perkara itu mengambil kira kepentingan pemilik tanah dan penyewa selain memastikan pemilik tanah tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga sewa rumah atau mengusir penyewanya.

"Ini juga antara perkara yang boleh mengawal harga sewa rumah untuk setiap penyewa rumah dalam negara," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, di sini.

Menyentuh mengenai Dasar Rumah Mampu Milik, beliau berkata KPKT bercadang membina perumahan untuk disewa sahaja dan mungkin akan memberi pengecualian kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk terus menyewa di rumah itu sehingga keadaan (kewangan) penyewa stabil.

"Sekarang ini, KPKT ada skim pembelian, sewa, dan Rent-To-Own (RTO) tetapi buat masa depan KPKT dengan Dasar Rumah Mampu Milik ini akan hanya membina rumah untuk disewa sahaja...Jadi, ini antara perkara pembaharuan yang dibawa KPKT dalam isu perumahan untuk B40 dan M40," katanya.

Mengulas Laporan Ketua Audit Negara mengenai kementerian itu pada Julai lepas, Zuraida tidak menafikan bahawa terdapat beberapa isu teknikal dan pentadbiran dalam kementeriannya.

"Saya tak menafikan ia harus diperkemaskan, dinaik taraf, dipantau dan ditukar cara menguruskannya. Namun demikian, ada juga isu-isu yang ada sebab munasabah yang tidak dapat dilaksanakan maka ada isu kelewatan dan sebagainya.

"Ada sembilan projek perumahan dibangkitkan dalam audit ini, namun KPKT telah berjaya membina sebanyak 342 projek perumahan...(tetapi) KPKT iktiraf teguran dibuat laporan audit dan kami akan memperbaikinya," katanya yang mengakui kelemahan itu berlaku di peringkat pentadbiran kontrak.

Sebelum ini, media melaporkan proses pengisian program perumahan rakyat RTO bagi menyediakan penginapan untuk golongan setinggan dan berpendapatan rendah, mengambil masa sehingga 40 bulan kerana ia tidak diuruskan dengan cekap.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 mendapati walaupun projek RTO disempurnakan dalam tempoh ditetapkan, namun KPKT mengambil masa hingga 866 hari untuk menyerahkan projek siap, bagi tujuan pengisian kepada Jabatan Perumahan Negara (JPN).

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

ADVERTISEMENT