Jualan rumah PR1MA meningkat pada 2020 - Zuraida | Malaysian Institute of Estate Agents

Jualan rumah PR1MA meningkat pada 2020 - Zuraida

2020-12-27
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tiga dari kanan) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Choe Kon Yeow (tengah) ketika hadir Majlis Pecah Tanah Residensi Bukit Gelugor, Georgetown. - Foto NSTP/Danial Saad

GEORGETOWN: Jualan kediaman bagi Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) pada tahun ini mencecah RM1.9 bilion berbanding RM1.3 bilion yang direkodkan pada 2019, demikian menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, rumah PR1MA terus mendapat permintaan rakyat dan jualannya terus merekodkan perkembangan memberangsangkan namun pembinaannya sedikit terjejas ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berikutan penularan wabak COVID-19.

"Industri perumahan dalam rekod KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) masih mencapai jualan yang memberangsangkan. Cuma masalahnya, apabila pembinaan tidak dapat dijalankan ketika tempoh PKP sejak Mac hingga Jun lalu... itu yang terlengah sedikit," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Tapak Residensi Bukit Gelugor di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata sasaran kementerian untuk membina sebanyak 200,000 unit rumah PR1MA dalam tempoh dua tahun tetap dapat direalisasikan.

"Kita berjaya membina rumah dari tahun 2018 sehingga sekarang (2020). Kita telah siap membina sebanyak 55,000 unit, manakala 150,000 lagi masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2021," katanya.

Sementara itu, berhubung projek perumahan PR1MA Residensi Bukit Gelugor itu, Zuraida berkata ia adalah projek pertama di negeri ini yang dilancarkan selepas penularan wabak COVID-19.

"Kita harap projek ini akan dapat membantu kerajaan Pulau Pinang dalam mencapai sasaran mereka untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat di negeri ini," katanya.

Projek Residensi Bukit Gelugor ini memiliki 2,850 unit dengan harga di bawah RM300,000 dan dijangka siap pada 2024.

Beliau berkata Pulau Pinang kini memiliki dua projek perumahan PR1MA iaitu di Permatang Pauh dan Bukit Gelugor dengan projek ketiga PR1MA, dijangka dilaksanakan di Batu Feringghi. – BERNAMA

 

ADVERTISEMENT