Dewan Rakyat: KPKT sasar hutang projek PR1MA dibatalkan, selesai menjelang 2023 | Malaysian Institute of Estate Agents

Dewan Rakyat: KPKT sasar hutang projek PR1MA dibatalkan, selesai menjelang 2023

2020-12-07
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan semua hutang projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang dibatalkan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun lagi.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, 17 projek daripada daripada 32 projek yang dibatalkan, telah diberikan pampasan berjumlah RM172 juta, meliputi prapembangunan, kos kerja, faedah atas kelewatan dan sebagainya.
 
"Yang lain masih dalam perundingan. Kita berjaya menurunkan dalam 30 peratus daripada jumlah tuntutan.
"Untuk yang lain-lain, kita tidak minta lagi peruntukan daripada kerajaan pusat untuk menguruskan hutang dan pembiayaan seterusnya," katanya di Parlimen di sini, pada Isnin.
 
Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) mengenai peruntukan yang telah dibelanjakan bagi projek PR1MA yang dibatalkan untuk menyelesaikan segala bebanan hutang serta tanggungjawab kepada pemaju dan pembeli.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, kementeriannya akan menggunakan tanah produktif untuk membuat rumah-rumah baharu dan bekerjasama dengan Jabatan Perumahan Nasional, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan sebagainya untuk model perniagaan pelbagai.
Katanya lagi, sebanyak 94 projek yang telah ditandatangani antara PR1MA dan pihak kontraktor pada 2013 hingga 2018 diteliti dan diperhalusi semula dengan kelulusan Anggota Perbadanan PR1MA.
PR1MA jelasnya, telah melaksanakan Pelan Rasionalisasi Projek PR1MA iaitu sebarang projek dengan peratus kemajuan pelaksanaan projek 15 peratus dan ke bawah hendaklah ditangguhkan dan perlu dikaji semula.
"Hasil pelaksanaan pelan itu, sehingga November 2020 Anggota Perbadanan PR1MA melalui Mesyuarat Anggota Perbadanan PR1MA memutuskan untuk meneruskan 62 projek serta telah dan akan membatalkan 32 projek," katanya.
Menjawab soalan asal Kon Yeow, beliau berkata, i Julai 2018 hingga 30 Jun 2020, sebanyak 546,755 unit rumah mampu milik sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, merangkumi 327,922 unit rumah dalam fasa perancangan, 163,337 unit dalam fasa pembinaan dan 55,496 unit telah disiapkan.

ADVERTISEMENT