COVID-19 tak jejaskan harga rumah | Malaysian Institute of Estate Agents

COVID-19 tak jejaskan harga rumah

2020-10-02

KUALA LUMPUR: Impak pandemik COVID-19 kepada harga hartanah di Malaysia setakat ini adalah minimum, sekali gus memberi petunjuk pasaran mungkin pulih semula lebih cepat daripada jangkaan, demikian menurut Indeks Pasaran Hartanah Malaysia PropertyGuru.

Indeks menunjukkan terdapat peningkatan 0.38 peratus permintaan harga hartanah pada suku kedua 2020, sejajar dengan data terkini

data terkini daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang menunjukkan terdapat peningkatan marginal 0.4 peratus dalam Indeks Harga Rumah Malaysia bagi tempoh sama.

Trend lain yang menunjukkan prospek lebih cerah bagi hartanah domestik termasuk kebangkitan semula minat di kawasan sentral dengan Bukit Jalil, Damansara dan Kepong sebagai lokasi tumpuan utama.

Selain itu, pertumbuhan kukuh bulan ke bulan carian dalam talian bagi hartanah mampu milik dan pertengahan turut menjadi penyumbang.

Bagaimanapun, prospek pertumbuhan ini mungkin terencat dengan potensi gelombang kedua kluster COVID-19 di seluruh negara susulan kenaikan titik panas di Sabah dan kemudiannya merebak ke negeri lain.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, berkata data dalam Pasaran Harta Tanah Separuh Pertama 2020 oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) memaklumkan hasil daripada kesan COVID-19 kepada pasaran menyebabkan berlaku kejatuhan jumlah transaksi sebanyak 27.9 peratus dan 31.5 peratus dari segi nilai.

Katanya, ini berbanding penurunan masing-masing sebanyak 32.3 peratus dan 47.6 sewaktu kemelesetan 1998 dan penularan virus Nipah, yang sejajar dengan unjuran Propertyguru bagi senario paling terburuk berlaku pasca pandemik.

"Data JPPH juga menyokong penemuan Indeks Pasaran Hartanah PropertyGuru Malaysia, yang menyaksikan penurunan marginal suku ke suku dalam permintaan harga di Johor sebanyak 3.10 peratus, Kuala Lumpur (2.52 peratus); Pulau Pinang (1.76 peratus) dan 0.97 peratus Selangor pada suku kedua 2020.

"Transaksi jumlah dan nilai telah melantun semula sejak impak awal COVID-19, menunjukkan keluk pemulihan berbentuk V, walaupun transaksi belum mencapai tahap pra-pandemik," katanya.

ADVERTISEMENT