COVID-19: Elak tertipu ejen hartanah tidak berdaftar | Malaysian Institute of Estate Agents

COVID-19: Elak tertipu ejen hartanah tidak berdaftar

2020-04-11

KUALA LUMPUR: Mereka yang berhasrat menjual atau membeli hartanah di pasaran digesa mendapatkan khidmat ejen yang sah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Soma Sundram, berkata ini berikutan kebanjiran ramai ejen tidak sah di pasaran tempatan akibat pengangguran susulan impak COVID-19 selain tidak memerlukan bayaran atau fi tinggi untuk menjadi ejen.

“Anda perlu bebas membuat keputusan dan mengambil masa membuat penelitian dan penyelidikan sendiri. Jangan terlalu berharap kepada ejen untuk melakukan semua perkara itu.

“Jika mengambil khidmat ejen pula, pastikan beliau berdaftar dan telah disahkan kerana hanya ejen sah dapat dipertanggungjawabkan terhadap maklumat yang dikongsi dengan anda.

“Malah, sebarang maklumat salah atau mengelirukan itu juga boleh dimaklumkan kepada firma ejen terbabit bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi persidangan secara maya anjuran MIEA bertemakan ‘Jangan Mudah Terpedaya Ketika Mencari Tawaran Hartanah Menarik’ di sini, hari ini.

Menurut Soma, kerjasama baik dan kepercayaan antara ejen, penjual dan pembeli juga penting bagi memastikan semua pihak mendapat maklumat sewajarnya.

Sementara itu, Pengasas merangkap Editor portal hartanah KopiandProperty.com, Charles Tan turut menekankan kepentingan melantik ejen yang eksklusif.

Ini berikutan tindakan melantik ramai ejen hanya menggalakkan perebutan atau persaingan sesama ejen dan menyebabkan harga hartanah yang ingin dijual itu menjadi semakin rendah.

“Setiap ejen itu perlu mengenali kawasan terbabit dengan baik, memahami undang-undang serta arah pasaran. Mereka perlu mempunyai pengetahuan mengenai hartanah dan kawasan itu termasuk sama ada ianya berstatus pegangan pajak/bebas, jarak dan keadaan lalu lintas selain pengurusan hartanah, pembangunan, penyelenggaraan, kemudahan dan sebagainya.

“Anda juga boleh mendapatkan pandangan pihak kedua bagi mempratikkan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Menurut Tan, selain mendapatkan khidmat profesional, ejen boleh dipercayai serta perunding, mereka juga perlu menggunakan khidmat peguam dan bank yang bagus untuk menjimatkan masa dan kos dalam satu-satu proses terbabit.

Persidangan secara maya itu dianjurkan bersempena kempen kesedaran awam #MYREALAGENTS oleh MIEA untuk mendidik masyarakat mengenai keperluan menggunakan khidmat ejen hartanah berdaftar dan pihak perantara boleh dipercayai bagi tujuan transaksi hartanah.

ADVERTISEMENT