Ambil peluang lanjutan moratorium | Malaysian Institute of Estate Agents

Ambil peluang lanjutan moratorium

2020-08-07

MALAYSIA tidak terkecuali dari menerima kesan penularan pandemik Covid-19. Ramai hilang sumber pendapatan dan kini masih lagi mencari pekerjaan yang menawarkan peluang yang sangat terhad.

Akibatnya ramai berdepan saat sukar dan tertekan apabila bukan sahaja untuk menyara keluarga malah perlu melunaskan pelbagai komitmen termasuk pembiayaan ansuran perumahan pada setiap bulan.

Kegagalan membayar semula ansuran perumahan boleh mendatangkan risiko termasuk rumah anda dilelong oleh pihak bank.

Kerajaan sudah mengambil pelbagai inisiatif untuk meringankan beban yang ditanggung dan yang terbaharu pelaksanaan lanjutan moratorium dan bantuan bersasar selama tiga bulan.

Ia memberi tumpuan kepada empat golongan termasuk yang hilang pekerjaan dan gaji dikurangkan bagi membantu mengurangkan beban kewangan mereka.

Pensyarah Kanan (Perbankan & Kewangan Islam) Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Azwan Abdullah berkata, ini antara langkah drastik yang diambil kerajaan untuk membantu mereka yang terjejas dengan penularan Covid-19.

"Langkah ini dapat membantu ramai yang terjejas termasuk mereka yang hilang pekerjaan dan masih mencari pekerjaan daripada terikat dengan komitmen dengan bank khususnya bayaran ansuran bulanan perumahan.

TIDAK beri kesan positif kepada sektor hartanah untuk jangka panjang.

"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan mengambil peluang sebaik mungkin dalam tempoh ini untuk menstrukturkan semula perbelanjaan sedia ada," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, orang ramai boleh menggunakan khidmat kaunseling mengenai pengurusan kewangan di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

"Menerusi AKPK, mereka boleh bagi bantuan khidmat nasihat profesional untuk strukturkan semula kewangan pengguna supaya seimbang dengan pendapatan masa kini menerusi kaunselor berpengalaman dengan pengurusan kredit.

"Contohnya jika anda memiliki akaun pinjaman perumahan, kenderaan, pinjaman peribadi, AKPK akan bantu nilai semula dan memberi bantuan pengurusan kewangan yang lebih tersusun selepas berakhirnya moratorium," katanya.

Tambahnya, pengguna boleh ke institusi kewangan untuk mencari langkah yang perlu dilaksanakan disebabkan masalah kewangan.

"Saya percaya pihak bank ada inisiatif tertentu untuk bantu pelanggan. Mungkin pihak bank boleh laksanakan cadangan penstrukturan ataupun pembiayaan semula," katanya.

Dr Azwan menasihatkan supaya pengguna tidak mengambil jalan singkat dengan terus menjual rumah apabila berdepan masalah melunaskan ansuran bulanan.

"Rumah adalah keperluan dan aset kekal. Nilainya akan meningkat dari semasa ke semasa.

"Bagaimanapun sekiranya sudah tiada alternatif lain, pengguna boleh serahkan kepada pihak bank untuk dibuat lelongan dan sebagainya bagi menutup hutang yang ada," katanya.

Mengulas lanjut, dalam menjalani kehidupan normal baharu, pengguna juga perlu aplikasikannya dalam perbelanjaan dan gaya hidup supaya penjimatan dapat dilakukan.

"Dalam keadaan ekonomi kini, letakkan keperluan di hadapan. Saya melihat langkah penjimatan ini dapat membantu menampung pembiayaan ansuran bulanan.

"Kerajaan sudah berusaha sedaya upaya membantu tapi sekiranya kita tidak ambil inisiatif untuk bantu diri sendiri maka hal ini tidak akan berjaya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden K-Literasi, Salkukhairi Abd Sukor berkata, bantuan ini serba sedikit memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas pendapatan akibat Covid-19 kerana tempoh pembiayaan mereka akan dilanjutkan dan dijadualkan semula.

"Namun begitu mereka harus sedar bantuan itu tidak akan sama sekali melepaskan peminjam daripada tanggungan dan liabiliti yang sudah diikat melalui dokumen pembiayaan dengan pihak bank.

"Ini bererti, sekiranya seseorang membuat pembiayaan perumahan untuk tempoh 30 tahun misalnya, sekiranya peminjam mengambil insentif bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan, tempoh pembiayaan mereka akan jadi lebih lama dan panjang.

"Bukan itu sahaja, mereka juga berkemungkinan perlu menjelaskan kadar keuntungan atau faedah kepada pihak bank lebih tinggi berbanding mereka yang tidak mengambil insentif bantuan kerajaan itu," katanya.

Beliau yang juga peguam hartanah berpendapat walaupun bantuan di atas dalam jangka masa singkat dapat membantu rakyat yang terjejas pendapatan namun dari segi jangka masa panjang ia akan menyebabkan pihak penjual khususnya pemaju akan lebih berhati-hati untuk memilih pembeli kepada hartanah mereka.

"Ini kerana sudah pasti pihak bank akan lebih mengetatkan syarat dan polisi pembiayaan kepada pembeli yang hanya mempunyai pekerjaan yang tidak akan terjejas akibat sebarang bencana alam, wabak berjangkit dan sebagainya pada masa akan datang.

ADVERTISEMENT