Tangani isu

2018-09-29

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang berunding dengan pemaju hartanah berhubung isu kediaman tidak terjual yang kini bernilai lebih RM22 bilion.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, untuk peringkat pertama, kementerian itu akan memberi tumpuan kepada kediaman bernilai RM500,000 ke bawah yang mana perbincangan lanjut dengan pemaju akan menentukan bahawa ia boleh ditawarkan kepada golongan M40 atau B40.

Katanya, penilaian yang akan dilakukan termasuk dari segi harga dan lokasi supaya ia bersesuaian dengan kemampuan golongan sasar.

“Saya ingin memanggil semua pemaju yang memiliki kediaman bawah RM500,000 untuk membincangkan bagaimana KPKT boleh bantu untuk memastikan kediaman dapat dijual.

“Kita akan cuba bantu pemaju dan pada masa sama kita dapat pastikan M40 serta B40 memiliki kediaman,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Harta Primer dan Sekunder (MASPEX’18) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Institut Ejen Hartanah (MIEA) Zamzuri Kamarudin dan Presiden MIEA Eric Lim.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, bagi merealisasikan hasrat mengurangkan jumlah kediaman tidak terjual, KPKT akan menawarkan beberapa pilihan skim pembiayaan yang membabitkan permohonan pinjaman, deposit dan pembayaran balik untuk membantu M40 dan B40 memiliki rumah.

“Pada masa sama, lebih banyak skim pinjaman akan ditawarkan kepada rakyat di bawah Dasar Perumahan Negara 2.0 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Dasar yang diperkemaskan ini akan membantu ekosistem hartanah negara ke arah lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPKT sedang menyelaraskan semua agensi berkaitan perumahan untuk diletakkan di bawah kementerian itu termasuk Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), UDA Holdings Bhd dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

“KPKT sedang melaksanakan kajian berdaya maju ke atas penyelarasan semua agensi berkaitan. Kita harap proses ini dapat dimuktamadkan menjelang Disember ini,” katanya.

Sementara itu, MASPEX’18 yang berlangsung selama tiga hari mulai semalam menawarkan lebih 1,000 hartanah yang ditawarkan oleh 25 peserta pameran.

Acara anjuran MIEA dengan tema “Memaparkan yang terbaik dari dunia hartanah primer dan sekunder” adalah pameran hartanah edisi ketiga dan terbesar MIEA.

Ads