Broker hartanah haram bakal dikenakan tindakan | Malaysian Institute of Estate Agents

Broker hartanah haram bakal dikenakan tindakan

2018-10-21

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberikan amaran kepada mana-mana broker hartanah haram agar mendaftarkan operasinya dalam masa terdekat.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka bagi membendung kegiatan harian mereka daripada terus berleluasa.

“Saya agak kesal kerana sehingga kini tidak ada satu tangkapan pernah dibuat dan ini menjadi satu isu penguatkuasaan dalam sektor perumahan.

“Maka Kementerian dengan kerjasama pelbagai pihak akan segera menguatkuasakan undang-undang di bawah peruntukkan Akta di bawah Subseksyen 30A untuk mengambil tindakan tegas terhadap broker-broker haram ini,” katanya.

Raja Kamarul berkata demikian bagi pihak Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin pada Majlis Makan Malam Tahunan MIEA dan Penyampaian Anugerah Hartanah Kebangsaan 2018 anjuran MIEA di sini malam tadi.

Ujarnya, KPKT mendapati terdapat banyak broker hartanah yang tidak berdaftar yang menyebabkan berlakunya pelbagai jenis penipuan terhadap pembeli dan penjual dalam sektor perumahan.

Untuk rekod, kesemua broker hartanah di negara ini perlu mendaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir, Agen Harta Tanah Pengurus Harta (LPPEH).

Turut hadir Presiden MIEA, Eric Lim dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Lim Boon Ping.

Dalam pada itu, Raja Kamarul berkata, pada tahun lalu, sejumlah transaksi RM90 bilion daripada RM139 bilion adalah dari ejen-ejen hartanah di negara ini.

“Ini jelas menunjukkan industri hartanah ini mampu memberikan sumbangan yang besar bagi menjana pendapatan negara.

“Kini kita mempunyai seramai 20,000 broker hartanah, 1,375 buah firma hartanah dengan seramai 1,964 ejen hartanah yanh berdaftar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ADVERTISEMENT